12.19.2008

MERRY CHRISTMAS AND HAPPY NEW YEAR 2009


Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat Hari Natal dan Tahun Baru 2009 kepada semua rakan sekerja, rakan blogger dan rakyat Malaysia am. Semoga anda semua sihat walafiat hendaknya.




ILMU, USAHA BAWA KEJAYAAN KEPADA PENGUSAHA DESA

Urang Kita amat bersetuju dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa ilmu, usaha dan sikap merupakan formula yang wajar dijadikan renungan usahawan luar bandar dan desa kerana semua faktor itu akan menghasilkan kejayaan yang mapan.

Beliau berkata, formula itu bermula dengan ilmu didarab dengan usaha, didarab dengan sikap akan membawa kejayaan yang berterusan kepada para pengusaha desa.

Katanya lagi, Ilmu bukan setakat pengajian akedemik tetapi golongan usahawan kecil perlu menambah baik ilmu agar mereka dapat menjadi lebih kreatif dalam perniagaan masing-masing seterusnya dapat memberikan khidmat pelanggan yang baik.

Ilmu bukan dalam bentuk akademik, ada juga pengusaha yang berjaya sekadar sekolah rendah tetapi mereka berjaya sebab ada ilmu yang sesuai sebagai seorang usahawan, tambahnya lagi.

Seorang ushawan perlu bersikap rajin luar biasa dan mempunyai daya usaha yang tinggi untuk meningkatkan dan meluaskan skop perniagaan mereka agar dapat menembusi pasaran ke luar negara.

12.12.2008

PERIBAHASA MELAYU

SIAPA PANDAI, CUBA BERI MAKNANYA?

Cuma suka-suka aje... bubuh jawapan anda diruangan komen.

Tengok siapa jawab betul ?

  1. Khabar jauh dengar-dengarkan, khabar dekat fikir-fikirkan.
  2. Kain lama dicampak buang, kain baru pula dicari.
  3. Nampak kulitnya tahulah isinya.
  4. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.
  5. Orang memegang kerbau pada talinya, memegang manusia pada katanya.

12.11.2008

BERBAKTI PADA TANAH MEMBAWA HASIL

Tanah merupakan harta yang berharga bagi sebahagian besar kita semua, pastinya semua orang mahu memiliki tanah sendiri untuk tujuan membina rumah, berkebun, berladang dan membahagikan kepada anak-anak kelak.

Semua orang boleh memiliki tanah sama ada melalui permohonan kepada Jabatan Tanah atau membelinya jika punya wang, tetapi berapa ramaikah yang sanggup mengusahakan tanah ?

Apa yang saya perhatikan pada hari ini kebanyakkan tanah persendirian tidak diusahakan, yang tumbuh hanyalah rumput, lalang dan kayu-kayu hutan.

Begitu juga dengan sawah padi nampaknya dikebanyakan sawah padi dikampung-kampung sekarang sudah tidak mengusahakan lagi, mungkin kerana generasi dulu sudah tidak larat lagi kerana dimakan usia, manakala generasi muda masa kini pula terlalu memilih kerja, mahu kerja ditempat yang bersih, berhawa dingin dengan gaji yang mahal.
Sebenarnya kerajaan ada menyediakan pelbagai program berbentuk latihan dan pinjaman bagi membantu meningkatkan taraf hidup rakyat terutamanya dikampung-kampung.

Contohnya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah ada melaksanakan program-program peningkatan ekonomi desa seperti Program Kampung Sejahtera, Program Pemulihan Kampung dan program Tumpang Sari (Inter-Cropping) untuk mengetahui lebih lanjut sila layari http://www.sabah.gov.my/kplb/.

Bagi mereka yang ingin mengusahakan tanah perlu terlebih dahulu memikirkan apa projek yang hendak diusahakan setelah menentukannya dapatkan nasihat daripada agensi yang berkaitan dan apa yang agensi berkenaan boleh bantu.
Mengikut pengalaman kerja saya lalui selama 18 tahun sebagai kakitangan kerajaan iaitu pada majlis perhimpunan sivik dan dailog dengan penduduk kampung, kebanyakkan wakil-wakil agensi yang hadir memaklumkan bahawa pelbagai kemudahan disediakan kepada penduduk kampung yang ingin mengusahakan tanah mereka, sama ada bantuan berbentuk baja, bijih benih, anak ikan, latihan dan sebagainya diberikan.
Mungkin ada sebahagian besar yang tidak mendapat maklumat mengenai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan, oleh itu ada yang mengusahakan tanah untuk keperluan makanan ahli keluarga sahaja.

Bagi anda yang ingin memperluaskan pengusahaan tanah dan ingin mengetahui peluang-peluang yang boleh diperolehi melalui agensi-agensi kerajaan berkenaan boleh lah mengunjungi agensi yang berkaitan atau terus ke Pusat Maklumat Rakyat (PMR), Jabatan Penerangan Malaysia yang terdapat di daerah anda untuk mendapat khidmat nasihat.

12.09.2008

RAKYAT CENDERUNG MILIKI HANYA SEORANG ATAU DUA ANAK

Urang kita baru-baru ni.. tertarik dengan satu artikel yang disiarkan di Daily Express bertarikh 9 Disember 2008 menurut seorang pakar pembangunan keluarga bahawa Malaysia mungkin kekurangan generasi pelapis yang diperlukan ekoran kecenderungan pasangan suami isteri mempunyai hanya seorang atau dua orang anak.

Menurut Datin Paduka Prof. Dr. Jamilah Ariffin, perunding Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Asia Pasifik bagi pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, wanita dan lelaki yang mempunyai kerjaya berkahwin lewat atau langsung tidak berkahwin, menyebabkan anak tidak ramai.

Aliran yang mula menular di banyak negara Asia itu bakal meningkat bilangan warga emas, katanya.

Katanya ketika ini warga emas mewakili 10 peratus daripada 27 juta penduduk Malaysia manakala jangka hayat penduduk Malaysia pula meningkat daripada 65 kepada 71 tahun bagi lelaki dan 75 bagi perempuan.

Menurutnya lagi, orang Melayu memilih untuk mempunyai antara dua hingga tiga anak sahaja berbanding tujuh orang pada masa dahulu, manakala kaum Cina dan India memilih untuk mendapat satu atau dua anak sahaja.

Apa yang kurangnya disini kita tidak mengetahui kecenderungan suami isteri pelbagai kaum di Sabah dan Sarawak dalam soal mempunyai anak.

Walau bagaimanapun, jika dilihat trend dulu dan kini banyak berubah, orang dulu-dulu berkahwin seawal umur belasan tahun dan punya ramai anak, dalam usia yang masih muda anak-anak dah besar.

Mungkin antara faktor lain kenapa orang sekarang memilih hanya dua orang anak kerana faktor kedudukan kewangan mereka memandangkan kos sara hidup masa kini lebih tinggi berbanding zaman dahulu.

Jadi tahap penggantian untuk Malaysia, hanya pada tahap ”cukup-cukup” sahaja ketika ini dan sudah tentu semakin kurang pada masa depan. Maknanya masyarakat kita akan jadi masyarakat yang lebih tua, Katanya.

11.26.2008

PENGESANAN AWAL BOLEH ELAK KANSER USUS

Tahukah anda kanser atau barah merupakan pembunuh nombor dua negara selepas penyakit jantung. Jika dikesan lebih awal peluang untuk hidup lebih lama adalah cerah. Sebaliknya jika lewat dikesan peluang untuk hidup adalah amat tipis.

Setakat ini belum ada satu ubat atau penawar yang benar-benar mujarab untuk menyembuhkan penghidap kanser.

Kanser boleh menyerang dimana-mana bahagian organ atau anggota tubuh badan kita. Organ atau anggota tubuh badan yang biasa diserang seperti rahim, payu dara, mulut, hidung, hati, paru-paru, perut, otak dan usus.

Bayangkan kiranya salah satu organ penting dalam tubuh badan kita diserang kanser dan tidak berfungsi lagi. Apa akan terjadi ? biasanya kesengsaraan dialami bertahun-tahun sebelum ajal.

Ingin saya berkongsi sedikit pengalaman untuk dikongsi semua agar dapat beri sedikit panduan kepada anda yang mempunyai masalah apabila membuang air besar.

Kanser boleh terjadi pada usus kita apabila cara pemakanan kita yang tidak seimbang iaitu terlalu banyak makan makanan berunsurkan daging dan kurang makan makanan berasaskan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Kanser juga boleh terjadi disebabkan faktor keturunan, iaitu kanser boleh terjadi kepada anak cucu. Fakta ini memang saya percaya kerana ia berlaku pada keluarga saya sendiri. Sebahagian besar keluarga saya menghidap kanser usus.

Saya amat berterima kasih kepada tuhan kerana mak cik, dua orang kakak, dua orang adik lelaki dan saya masih hidup hingga ke hari ini, ekoran penyakit ini dapat dikesan lebih awal dan ketumbuhan (tumor) tersebut telah di buang.

Kanser usus tidak lah seteruk kanser-kanser lain dalam organ badan kita, namun kalau tidak dikesan lebih awal ia akan merebak ke organ lain.

Seperti kanser lain, kanser ini terbentuk pada sel tertentu dan menghasilkan perubahaan genetik serta melibatkan pertumbuhan benigna yang kecil, dikenali polip yang terbina daripada sel-sel mukosa normal. Perkembangan metastasis kanser kolon adalah secara bertahap, iaitu bermula dengan proses pembahagian luar biasa yang berlaku pada sel normal dalam saluran kolon, diikuti kemunculan struktur polip (tumor benigna) pada dinding kolon dan seterusnnya, berlaku pembentukan karsinoma malignan.
Antara simpton yang ditunjukkan ialah pendarahan dalam najis atau daripada rektum, perubahan kelakuan pembuangan seperti diarea dan sembelit atau kedua-duanya. Pengeluaran gas berlebihan yang menyebabkan ketidakselesaan abdominal sama ada abdominal berasas penuh atau berlaku kekejangan abdominal.

Terdapat beberapa cara untuk mengetahui samaada terdapat ketumbuhan pada usus kita iaitu melalui colonoscopy. Colonoscopy adalah sejenis alat membantu doktor untuk melihat dalam usus kita, alat ini berupa hos sebesar jari kecil, panjang lebih kuran 2 meter dan dihujungnya ada kamera.

Sebelum melalui proses colonoscopy kita perlu membersihkan terlebih dahulu usus kita dengan meminum sejenis cecair yang dicampur dengan air dan diminum, biasanya air yang diminum sebanyak tiga botol coca-cola.

Apabila dah bersih memudahkan doktor melihat dengan jelas usus, sama ada terdapat ketumbuhan ataupun sebaliknya.
Alat colonoscopy akan dimasukkan melalui lubang zubur, proses ini tidak lah sakit sangat jika doktor melakukannya secara perlahan-lahan dan berhati-hati. Doktor akan memberi sedikit suntikan dadah untuk mengurangkan rasa sakit ataupun diberi suntikan yang akan tidak menyedarkan dan rasa sakit.

Jika terdapat ketumbuhan pada dinding usus, doktor akan mengambil sedikit tisu tersebut untuk tujuan uji kaji untuk menentukan jenis penyakit. Itulah proses yang harus dilalui kepada sesiapa yang mempunyai masalah usus.

Apabila keputusan diketahui daripada tisu yang diambil dalam usus kita tersebut dan didapati kanser, bahagian yang ada ketumbuhan tersebut haruslah dibuang melalui pembedahan. Bahagian usus yang ada ketumbuhan dibuang sepanjang 1 meter dan usus yang telah dipotong disambung semula.

Ini adalah nasihat saya kiranya anda yang mempunyai tanda-tanda yang disebutkan tadi pergilah berjumpa doktor pakar dan buatlah colonoscopy kerana jika dikesan lebih awal adalah lebih baik berbanding jika penyakit tersebut sudah kronik dan berjangkit kepada organ-organ lain.

Ingatlah bahawa kesihatan itu antara terpenting dalam hidup kita, jagalah kesihatan dengan mengamalkan pemakanan seimbang dan diikuti dengan senaman. Jika kita kaya sekalipun jikalau kesihatan tidak baik tidak membawa kebahagian.

11.21.2008

PROMOSI KEINDAHAN DAN KEUNIKAN SABAH DAN SARAWAK

Saya bersetuju sangat cadangan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek bahawa filem dan drama berlatarbelakangkan keindahan dan keunikan Sabah dan Sarawak bagi pengetahuan umum dan tarikan pelancongan adalah diberi keutamaan.

Langkah tersebut merupakan salah satu usaha kerajaan untuk menarik pelancong tempatan atau luar datang ke negeri Sabah dan Sarawak kiranya filem-filem yang dibuat adalah berlatar belakangkan keunikan dan keindahan dikedua-dua negeri tersebut.

Negeri Di bawah Bayu sememangnya kaya dengan keindahan alam flora dan faunanya serta tempat-tempat menarik dan kaya dengan pelbagai budaya daripada hampir 30 suku kaum dengan menggunakan lebih dari 50 bahasa dan tidak kurang dari 90 dialek.

11.19.2008

AMALKAN SIKAP BANTU MEMBANTU

Hidup bermasyarakat saling perlu memerlukan dan saling bergantungan antara satu sama lain tanpa mengira status, pangkat, bangsa, agama, miskin atau kaya.

Kita harus menanamkan sifat saling bantu membantu atau tolong menolong kerana setiap orang dimuka bumi ini tidak ada yang tidak berguna semuanya punya peranan dan tanggungjawab masing-masing.

Pepatah melayu ada mengatakan berat sama dipikul, ringan sama dijinjing yang bermaksud senang dan susah dialami bersama, pekerjaan yang berat akan terasa ringan apabila dikerjakan bersama-sama.

11.18.2008

MAHIR BERTUTUR PELBAGAI BAHASA

MEROKOK MEMBAHAYAKAN KESIHATAN

Rokok merupakan benda yang sudah tak asing lagi bagi kita. Merokok sudah menjadi kebiasaan yang sangat umum dan meluas di masyarakat. Bahaya merokok terhadap kesihatan tubuh telah diteliti dan dibuktikan banyak orang.
Efek-efek yang merugikan akibat merokok pun sudah diketahui dengan jelas. Banyak penelitian membuktikan kebiasaan merokok meningkatkan risiko timbulnya berbagai penyakit antaranya seperti penyakit jantung dan gangguan pembuluh darah, barah paru-paru, kanser mulut, tekanan darah tinggi serta gangguan kehamilan dan cacat pada janin.
Tabiat merokok dikhalayak ramai dan didepan ahli-ahli keluarga khususnya anak-anak adalah kurang sopan dan juga boleh membahayakan kesihatan mereka.
Walaupun terbukti merokok membahayakan kesihatan tetapi ramai diantara perokok masih merokok. Walaupun harga rokok telah dinaikkan oleh kerajaan malah mereka sanggup membelinya semata-mata untuk melepaskan gian merokok.

HARGA MINYAK DAN BERAS TURUN

Semalam saya sempat tengok berita Buletin Utama antara tajuk utamanya ialah harga minyak dan beras turun, berita gembira ini khasnya kepada semua khususnya yang memiliki kenderaan, kerajaan telah mengumumkan bahan api turun lagi 15 sen seliter iaitu harga petrol RON97 kini RM2 seliter, RON92 pula RM1.90 dan diesel RM1.90 seliter berkuatkuasa 18 November 2008.

Memang betul, baru pagi tadi saya isi minyak petrol kenderaan saya memang sudah turun, terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan.

Manakala harga siling beras Super Tempatan (ST) lima peratus serta 10 peratus hancur dikurangkan antara 20 dan 30 sen sekilogram, mulai kelmarin.

Peliknya harga barang yang lain tidak turun-turun? Sepatutnya apabila harga bahan api turun harga barang pun patut turun. Dulu alasan mereka harga barang naik kerana harga bahan api naik kerana mengambil kira kos pengangkutan. Sekarang kos pengangkutan sudah kurang turunkan lah.


Timbalan Perdana Menteri dalam kenyataannya semalam berharap peniaga mengambil langkah untuk terus mengurangkan harga barang supaya rakyat mendapat manfaat sepenuhnya berikutan penurunan terbaru harga bahan api itu.

Beliau juga berharap pengguna akan terus mengamalkan sikap berhemah dalam penggunaan petrol dan diesel walaupun harganya sudah menurun beberapa bulan lalu. Ini selaras dengan hasrat kita memastikan penggunaan tenaga yang efisien," katanya.

Kesianlah para pengguna khususnya orang kampung yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Bayangkan lah kesusahan mereka kiranya dalam satu keluarga mempunyai ramai anak, mau kasi belanja sekolah lagi, mau beli susu lagi, mau beli baju lagi dan apa dorang mau makan. Syukurlah mereka tinggal di kampung dapat juga cari sayur-sayur di hutan. Macamanapula orang yang tinggal di bandar? Sayur satu ikatpun mau RM1.

Restoran-restoran dan kedai-kedai makan juga patut menurunkan harga makanan berikutan harga bahan api dan beras sudah turun.

11.17.2008

PENSIANGAN BERPOTENSI SEBAGAI DISTINASI PELANCONGAN

Mungkin ramai daripada kita belum pernah sampai ke Pensiangan, manakala yang pernah sampai banyak perkara yang ingin dibicarakan dan dikongsi bersama pengalaman mereka.

Saya sendiri belum pernah sampai ke Pensiangan, tetapi daripada cerita-cerita rakan setugas, saya dapat bayangkan dan gambarkan keadaan penghidupan masyarakat di sana.

Apa yang saya diberitahu rakan-rakan setugas, jika nak ke Pensiangan iaitu di Pensiangan Bandar perlu menaiki bot yang mengambil masa dua jam untuk sampai dan botnya hanya memuatkan 10 orang sahaja. Sepanjang perjalanan ke Pensiangan Bandar baju yang dipakai sekejap basah dan sekejap kering disebabkan percikan air sungai. Jika nasib tidak baik air surut terpaksa turun ke sungai dan menolak bot lebih bahaya lagi melawan arus sungai. Saya pasti pelancong yang mengalami pengalaman ini pastinya menyeronokkan.

Walau pun saya tidak pernah sampai ke tempat tersebut sebagaimana yang diceritakan rakan-rakan sememangnya masyarakat di Pensiangan perlunya perhatian daripada kerajaan untuk dibangunkan.

Apa yang saya perhatikan dan berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan, pembangunan di Parlimen Pensiangan khususnya di DUN Sook dan DUN Nabawan tidaklah sehebat daerah-daerah lain di negeri Sabah seperti Daerah Lahad Datu yang berkembang maju dengan POICnya.

Jika dilihat di Pekan Nabawan itu sendiri hanya beberapa deret kedai papan dan tapak tamu yang menjadi pertemuan masyarakat Pensiangan untuk memasarkan hasil pertanian mereka.

Kerajaan sebenarnya tidak melupakan Pensiangan kerana masyarakat di sini juga tidak ketinggalan menerima pendidikan seperti kanak-kanak lain. Kerajaan juga telah membina sekolah-sekolah rendah dan menengah khusus untuk anak-anak di sini untuk dapatkan pendidikan.
Dari segi kesihatan, masyarakat di Pensiangan juga tidak dilupakan, terdapat sebuah klinik kesihatan disini dan ia merupakan satu-satunya klinik di kawasan mukim Pensiangan yang telah dibina sekitar tahun 1970 dan mula beroperasi pada tahun 1974 dengan sepenuhnya. Klinik ini terletak kira-kira 254 km dari Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau dan 114 km dari Pekan Nabawan.

Begitu juga dengan jalanraya bertar, iaitu Jalanraya Keningau - Pekan Nabawan jika sebelum ini perjalanan mengambil masa hampir dua jam tapi sekarang dalam satu jam.

Beberapa pejabat kerajaan juga diwujudkan di sini untuk melancarkan lagi sistem pentadbiran dan penyampaian kerajaan kepada rakyat.

Hasil daripada percambahan minda dengan rakan-rakan, kami sependapat bahawa Pensiangan sebenarnya boleh dimajukan khususnya dalam sektor pelancongan. Pensiangan masih lagi kaya dengan alam flora dan faunanya yang belum terusik serta tempat-tempat menarik untuk dilawati.

Contohnya, Batu Punggul, yang mempunyai sejarah legendanya dan mendapat tempat dimata masyarakat. Batu Punggul ini terletak di setesen Sepulot, dan jika ingin menjejak ke tempat tersebut, haruslah bermalam di tempat yang disediakan disamping menikmati juadah suku kaum murut dan yang paling popular ialah "TAPAI".

Jika diperbanyakkan kemudahan-kemudahan homestay, kemudahan bot diperbaiki dan diperbanyakkan pastinya Pensiangan dapat maju seiring dengan daerah-daerah lain di negeri ini.

Tumpuan harus diberikan dalam sektor pelancongan selain dalam sektor pertanian. Selain tempat pelancongan, masyarakat Murut juga kaya dengan budayanya dari segi tarian, baju, kraftangan dan sebagainya. Ini semua dapat dipasarkan dengan adanya usaha menjadikan Pensiangan sebagai salah satu destinasi pelancongan di Sabah. Sekaligus dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat di Pensiangan ini.

11.13.2008

SISTEM TAGAL SUNGAI MOROLI BERPOTENSI SEBAGAI TARIKAN PELANCONG

Bagi masyarakat Kampung Luanti Baru, Ranau mereka seharusnya berbangga kerana mempunyai sistem pengurusan sungai antara yang terbaik di negeri Sabah dan berpotensi sebagai daya tarikan pelancong di daerah ini.

Mungkin bagi mereka yang belum pernah datang ke kampung ini tiada apa yang menarik untuk dilihat. Namun sekiranya anda sendiri datang ke kampung ini ia suatu pengalaman yang sukar dilupakan. Suasana keindahan kampung yang jauh daripada kesibukan bandar, udara yang nyaman yang dikelilingi hutan rimba serta mempunyai sebatang sungai yang airnya mengalir jernih dihuni kehidupan air yang tidak diusik menggamit perasaan anda.












Paling menyeronokkan apabila anda berpeluang untuk memegang dan membelai ikan pelian (Kelah) iaitu spesis ikan yang semakin pupus dan dipercayai sukar dijinakkan. Namun, semuanya menjadi kenyataan di Sungai Moroli, Kampung Luanti Baru yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Pekan Ranau.

Semua usaha ini adalah atas kesedaran dan kerjasama pemimpin dan masyarakat di kampung ini mengenai pemuliharaan alam sekitar khususnya penjagaan sungai melalui Sistem Tagal yang diperkenalkan oleh Jabatan Perikanan Sabah.

Sistem Tagal atau di sesetengah daerah dikenali “Bombon” adalah satu konsep pemuliharaan sumber perikanan di sungai melalui pembabitan penduduk sesebuah kampung. Malah definisi tagal itu sendiri bermakna larangan terhadap sesiapa saja untuk menangkap ikan di kawasan sungai yang ditetapkan oleh ketua kampung dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) bagi tempoh tertentu.


Malah, dalam sistem ini pihak yang cuba memudaratkan sungai seperti menangkap ikan dan mencemarkan sungai boleh didenda menerusi Peraturan Penagalan yang diiktiraf oleh Mahkamah Anak Negeri.

Menurut Encik Jefrin Majangki @ Md. Mazli, 39 selaku Pengerusi Jawatankuasa Sistem Tagal Sungai Moroli menceritakan tercetusnya idea untuk mengadakan Sistem Tagal Sungai Moroli adalah kerana minatnya pada alam sekitar sejak kecil lagi. Beliau telah dididik untuk mencintai alam sekitar oleh nenek moyangnya melalui penceritaan sejak di alam kanak-kanak lagi.

Melihat pada keadaan Sungai Moroli yang tercemar dengan kegiatan pengambilan batu sungai oleh kontraktor membina jalan raya serta dipenuhi sampah sarap menyebabkan hidupan sungai seperti ikan sukar didapati menambahkan lagi niat Jefrin untuk melaksanakan sistem tersebut yang banyak mendapat dorongan dan sokongan dari Jabatan Perikanan Daerah Ranau dan Kota Kinabalu.

Tambahnya lagi, semasa sistem ini mula diperkenalkan kepada penduduk kampung, banyak cabaran yang dilaluinya terutama bantahan penduduk kampung. Penduduk kampung mendakwa sistem ini menghalang kebebasan mereka untuk menggunakan sungai sebagai tempat mandi manda, membasuh kain dan aktiviti-aktiviti lain.

Namun, usaha terus dilakukan untuk menyedarkan penduduk kampung mengenai penjagaan sungai terutama memelihara kehidupan air melalui ceramah-ceramah yang disampaikan oleh Jabatan Perikanan. Ceramah demi ceramah disampaikan serta diikuti sesi dialog yang akhirnya berjaya membuka hati penduduk kampung menerima sistem ini.

Menurut Jefrin, Sistem Tagal Sungai Moroli Kg. Luanti Baru, Ranau bermula pada 12 Oktober 2002 yang telah dirasmikan pelancarannya oleh mantan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Yang Berbahagia Datuk Siringan Gubat. Sungai Moroli diwartakan untuk Sistem Tagal sejauh tiga kilometer.

Sejak sistem ini diperkenalkan, banyak perubahan berlaku kepada Sungai Moroli, bukan sahaja sungai terpelihara daripada pencemaran tetapi juga hidupan sungai seperti ikan terus hidup bebas.

Menurut Puan Rosliah Majangki, 53 selaku Ketua Kampung Kg. Luanti Baru, hampir 20 jenis ikan sungai terdapat di Sungai Moroli antaranya ikan Lampan, Serawi, Kelah, sembilang dan ikan keli.

Sejak empat tahun sistem ini beroperasi, Jawatankuasa Sistem Tagal Sungai Moroli, Kg. Luanti Baru, Ranau telah menerima beberapa anugerah sama ada di peringkat negeri mahupun antarabangsa. Sistem Tagal kampung ini menerima Anugerah Alam Sekitar Sabah 2005 bagi kategori Projek Mesra Alam Sekitar Terbaik dan Anugerah GEG River Care 2006 terbaik bagi kategori komuniti daripada Global Environment Centre.

Sehingga hari ini, Sistem Tagal Sungai Moroli bukan sahaja menjadi contoh kepada kampung-kampung sekitarnya tetapi juga sebagai daya tarikan pelancong tempatan dan asing.

Menurut Encik Jeffrin, konsep sistem Tagal itu diubah sedikit memandangkan beliau banyak menerima cadangan daripada pelbagai pihak untuk memajukan tempat ini sebagai pusat pelancongan. Ikan tidak lagi dituai sebagaimana amalan biasa penduduk kampung sebaliknya membiarkan ikan-ikan itu terus hidup. Ini dilakukan kerana ikan-ikan di sungai itulah sebagai daya tarikan pelawat yang datang ke sini.

Selain dapat melihat dan membelai ikan, anda juga berpeluang untuk mandi manda di tempat yang dikhaskan dengan bayaran sekitar RM10.00. Bagi yang berminat untuk perkhemahan disediakan kawasan perkhemahan berdekatan dengan sungai dan bayaran untuk perkhemahan adalah mengikut pakej. Aktiviti Jungle Tracking juga disediakan kepada yang berminat untuk mereda hutan rimba di kampung ini.

Kepada anda yang berminat untuk melawat dan melihat Sungai Moroli yang di Tagal, anda hanya dikehendaki membayar RM2.00 dan bagi kanak-kanak RM1.00. Anda tidak akan merasa rugi kerana pelbagai aktiviti disediakan oleh pihak penganjur kepada anda.

Dari segi kemudahan infrastruktur, ia tidak menjadi masalah kerana di kampung ini memang disediakan kemudahan asas seperti Masjid, Mini Dewan, Padang Bola, bekalan elektrik, air graviti dan sebagainya.

Matlamat utama yang ingin dicapai oleh pengerusi dan ahli-ahli Jawatankuasa Sistem Tagal Sungai Moroli, Kg. Luanti Baru, Ranau ialah menjadikan kampung ini sebagai pusat pelancongan dengan mendirikan homestay. Apabila pusat pelancongan ini menjadi kenyataan sedikit sebanyak dapat meningkatkan sumber pendapatan penduduk kampung yang sebahagian besarnya adalah petani.

10.24.2008

TAMAN HIDUPAN LIAR BORNEO MENANTI KUNJUNGAN ANDA

Sebut sahaja hidupan liar pasti menyeronokkan terutama kanak-kanak yang baru mengenali pelbagai spesies haiwan.

Bagi pelancong dan pengemar hidupan liar pula, peluang menyaksikan kelibat pelbagai spesies haiwan Borneo tentunya memberi kepuasan yang tidak terhingga.

Pembukaan Taman Hidupan Liar Lok Kawi di Putatan yang terletak kira-kira 25 kilometer daripada pusat bandar Kota Kinabalu adalah peluang terbaik pengunjung melihat secara dekat pelbagai spesies haiwan yang terdapat di Borneo.

Taman yang juga dikenali Zoo Lok Kawi ini adalah satu-satunya taman haiwan terbesar menempatkan pelbagai spesies haiwan Borneo yang pertama di Sabah dan telah dibuka kepada umum pada 17 Februari 2007.

Zoo Lok Kawi mempunyai pelbagai hidupan liar Borneo dan Malaysia yang boleh dilihat seperti Orang Utan, monyet Bangkatan “Proboscis Monkey”, gajah kecil “Pygmy Elephant”, badak sumatra, beruang madu, burung kenyalang, harimau, kijang dan banyak lagi.

Taman ini mempunyai keluasan 280 ekar iaitu 100 ekar adalah Taman Zoologi yang diurus sepenuhnya oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah dan 180 ekar lagi adalah Taman Botani yang diurus oleh Jabatan Perhutanan Sabah
Buat masa ini Taman Zoologi mempunyai lebih daripada 100 spesies termasuk burung, reptilia dan mamalia. Manakala di Taman Botani menempatkan pelbagai spesies tumbuhan.
Menurut Encik Ahmad Tajuddin bin Alli, yang bertugas di Unit Pengurusan Pelawat Taman ini, setakat 17 Febuari hingga Disember 2007 jumlah pelawat yang datang ke taman ini adalah seramai 150 ribu orang yang terdiri dari pengunjung tempatan dan asing.

Tambahnya lagi, pihak taman menerima tidak kurang lima kumpulan pelawat setiap hari sama ada daripada murid-murid sekolah ataupun pertubuhan bukan kerajaan. Pada Sabtu, Ahad dan cuti lepasan am adalah paling ramai pengunjung, katanya lagi.

Taman ini dibuka bermula jam 9.30 pagi hingga jam 5.30 petang dengan bayaran masuk sebanyak RM10 bagi warganegara dan RM20 bagi warga asing yang berumur 18 tahun ke atas.
Manakala pengunjung berumur 17 tahun ke bawah warganegara RM5 dan warga asing RM10. Bagi warga emas (60 tahun ke atas) dan Orang Kurang Upaya (OKU) masuk adalah percuma.

Sementara murid-murid sekolah adalah percuma. Walau bagaimanapun pihak sekolah hendaklah mengemukakan surat permohonan terlebih dahulu dan semasa melawat hendaklah berpakaian seragam.

Pengunjung dibekalkan peta sebagai penunjuk arah untuk memulakan “pengembaraan” dengan menyusuri jalan berturap sepanjang lebih satu kilometer yang di kiri kanannya menempatkan pelbagai habitat haiwan.

Selepas melalui pintu masuk anda disapa keletah pelbagai spesies burung seperti tiung, kakak tua, burung hantu dan merak serta spesies haiwan aktif pada waktu malam seperti harimau dahan dan musang.

Perjalanan seterusnya menemukan anda dengan kumpulan rusa chital, burung emu, gajah Pygmy dan badak sumbu Sumatra, burung unta, beruang madu, harimau, orang utan, monyet bangkatan, seladang, memerang dan kancil.

Peminat burung pula berpeluang memerhati pelbagai spesies burung yang dilepas bebas dicelah kehijauan daun dan rimbunan pokok hutan dalam sebuah sangkar gergasi.

Bagi peminat haiwan reptilia seperti ular tedung, ular sawa, buaya, biawak dan kura-kura pihak taman menyediakan tempatnya untuk dilihat oleh pengunjung.

Di Taman zoo ini, pengunjung tidak disediakan pengangkutan, sebaliknya diberi kebebasan bergerak dengan berjalan kaki dari satu habitat ke habitat lain.

Walau bagaimanapun, menurut Encik Ahmad, pihak Taman sudah menerima dua buah kenderaan untuk kemudahan pengangkutan kepada pengunjung yang akan digunakan kelak.

Bercakap berkaitan kemudahan yang lain, Encik Ahmad berkata, jika letih berjalan pengunjung boleh berehat di mana-mana enam pondok rehat di sekitar zoo atau di mana-mana pondok pemerhatian haiwan yang disediakan di setiap habitat yang lengkap dengan kipas dan kerusi kayu.

Dua tandas awam dalam kawasan zoo juga disediakan, manakala bagi pengunjung yang kehausan dan kelaparan, boleh menjamu selera di kafeteria yang disediakan berdekatan dengan habitat gajah.

Pihak zoo ada menyediakan tarikan khas untuk kanak-kanak iaitu peluang menyertai aktiviti berkaitan hidupan liar di zoo Kanak-kanak dan menyaksikan persembahan haiwan di pentas amphiteater.
Selain melihat pelbagai spesies haiwan pengunjung juga berpeluang mengunjungi Taman Botani yang menempatkan pelbagai spesies tumbuhan seperti halia, periuk kera, orkid dan herba.
Menurut Encik Ahmad, di kawasan Taman Botani ini disediakan tempat perkelahan yang dilengkapi kemudahan pondok rehat dan tempat barbeku untuk pengunjung bersantai.

Suasana redup dipayungi kayu balak dan pokok getah tua serta bunyi aliran air anak sungai pasti mendamaikan pengunjung yang meluangkan masa berehat di kawasan ini.

Walaupun zoo ini tidak sehebat Zoo Negara, Zoo Taiping dan Zoo Melaka namun Zoo Lok Kawi ini dapat memulihara sumber alam semula jadi dan habitat aslinya.

Di samping itu, zoo ini dapat memberi pendidikan kepada orang ramai serta menjadi zoo ini tempat penyelidikan spesies hidupan liar.

Zoo Lok Kawi ini juga dapat mempelbagaikan nilai ekonomi tambahan dari aspek tarikan pelancongan ke negeri ini.

Bagaimana ke Lok Kawi Wildlife Park? Untuk ke situ pengunjung boleh memandu sendiri atau mengunakan teksi dari bandaraya Kota Kinabalu, pekan Putatan, Dongongon, Penampang melalui jalan lama Penampang – Papar atau Jalan Putatan – Lok Kawi.

PERPADUAN KAUM PEMANGKIN KECEMERLANGAN NEGARA

Perpaduan merupakan salah satu aspek penting dalam pembangunan sesebuah Negara. Oleh itu, perpaduan kaum dan integrasi nasional masih merupakan agenda utama kerajaan kerana kemajuan yang dinikmati sekarang adalah hasil perpaduan erat antara pelbagai kaum di Negara ini.
Peristiwa 13 Mei 1969 telah memberikan pengajaran dan iktibar kepada rakyat semua kaum tentang pentingnya mengukuhkan permuafakatan dan persefahaman serta menjamin keadilan sosial agar perpaduan dapat dikekalkan dan ditingkatkan.
Ekoran itu, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970 yang bertujuan untuk membetulkan ketidakseimbangan sosio ekonomi yang wujud di Negara ini. Dalam tempoh 20 tahun pelaksanaannya DEB telah berjaya membawa perubahaan khususnya dalam mencapai matlamatnya membasmi kemiskinan serta mewujudkan pemauafakatan dan persefahaman pelbagai kaum.
Pemuafakatan dan persefahaman ini telah menjamin kestabilan politik dan keamanan sosial yang membolehkan pembangunan ekonomi berjalan dengan pesat sehingga Malaysia dianggap sebagai sebuah Negara membangun yang berjaya. Bahkan pengalaman Malaysia dianggap sangat berguna dan sering dijadikan contoh oleh Negara membangun yang lain yang menghadapi masalah hubungan etnik dan agama.
Kita harus berbangga kerana kita antara satu-satunya Negara di rantau ini yang mempunyai wawasan yang boleh dipegang oleh semua rakyat di pelbagai lapisan masyarakat. Wawasan 2020 adalah ilham mantan Perdana Menteri ke empat Tun Dr. Mahathir Muhamad iaitu untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara maju menjelang tahun 2020.
Gagasan Wawasan 2020 meletakkan perpaduan kebangsaan sebagai cabaran utama yang perlu ditangani agar Malaysia benar-benar maju mengikut acuan sendiri.

Bagi merealisasikan matlamat ini Kerajaan di bawah kepimpinan Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia telah memperkenalkan Misi Nasional dengan mengariskan langkah-langkah utama yang harus diambil bagi tempoh lima belas tahun akan datang.
Projek-projek pembangunan dibawah Rancangan Malaysia Kesembilan rancak dilaksanakan di seluruh negara iaitu RMK9 ini akan memacu Misi Nasional ke arah mecapai Wawasan 2020.
Selain itu, bagi mengurangkan jurang ketidakseimbangan pembangunan yang berlaku antara wilayah, kerajaan telah memperkenalkan koridor pembangunan ekonomi negara. Kerajaan kini memajukan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di selatan Johor, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE).
Koridor pembangunan ekonomi negara ini adalah untuk memastikan agar semua kaum dapat sama-sama merasai pembangunan dan perkhidmatan berkualiti yang seimbang. Tidak ada kaum dipinggirkan dalam arus pembangunan negara.
Dari segi politik, konsep perkongsian kuasa yang diamalkan sejak Parti PERIKATAN yang kemudiannya Barisan Nasional ternyata berhasil megekalkan keharmonian dan kecemerlangan negara. Ini kerana melalui perkongsian kuasa semua kaum dilibatkan sama dalam mentadbir dan mengurus negara.
Tidak ada kaum yang disisih, semua kaum diberi peluang dan ruang menyuarakan pandangan, pendapat dan komen melalui wakil-wakil mereka di Dewan Rakyat dan Negara yang dipilih melalui proses pilihanraya. Malah wakil-wakil pelbagai kaum terlibat dalam mentadbir negara melalui barisan kabinet persekutuan yang dibentuk setiap lima tahun.
Hasil daripada kestabilan politik negara serta kesepaduan rakyat kita telah melangkah maju dalam melaksanakan projek-projek mega yang telah menguntungkan bukan saja pada negara tetapi rakyat Malaysia. Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bertaraf dunia merupakan salah satu hub penerbangan yang terpenting di rantau Asia Tenggara iaitu pintu masuk utama di negara ini kepada dunia luar.

Berdekatan dengan KLIA letaknya Litar Antarabangsa Sepang merupakan litar perlumbaan Formula Satu Grand Prix Malaysia, A1 Grand Prix juga Grand Prix Motosikal Malaysia. Ia juga digunakan sebagai gelanggang pelbagai perlumbaan motor. Pembinaan litar ini mampu menarik pelancong luar negara untuk datang ke negara ini.



Menara Berkembar PETRONAS setinggi 45.9 meter (88 tingkat) masih merupakan menara berkembar tertinggi di dunia dan merupakan bangunan tertinggi bagi abad ke-20 menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Banyak lagi projek-projek pembangunan negara telah dilaksanakan seperti Multimedia Super Corridor (MSC), Pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan (PUTRAJAYA), Jambatan Pulau Pinang dan yang lain-lain dibina untuk kemajuan negara.
Manakala dalam bidang sukan, kejayaan atlet-atlet negara di peringkat antarabangsa telah mengangkat martabat negara seperti Nicole Ann David ratu squash negara mempertahankan kedudukan pemain nombor satu dunia, kejayaan jaguh bina badan negara Sazali Samad juara Mr. Universe Kejohanan Bina Badan Amatur Dunia ke-61 tahun lalu kategori Lightweight, di Jeju, Korea Selatan, kejayaan Datuk, Azhar Mansor orang Malaysia pertama yang berjaya mengelilingi dunia dengan berlayar, kejayaan Datuk Abdul Malik Mydin merentasi Selat Inggeris, kejayaan M. Magendran dan N. Mohandas menakluki Gunung Everest pada Mei 2007 dan banyak lagi kejayaan-kejayaan rakyat Malaysia yang tidak disebutkan telah memperlihatkan dunia bahawa Malaysia sebuah negara kecil dan membangun cemerlang dan setanding dengan negara-negara maju dalam bidang sukan.
Satu lagi kejayaan Negara apabila membuka episod baru dalam lipatan sejarah negara apabila pada 10 Oktober tahun lalu angkasawan negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha rakyat Malaysia yang pertama ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menggunakan roket Soyuz TMA-11 buatan Russia dari tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan tepat pukul 7.21 malam (9.21 malam waktu Malaysia).
Kejayaan menghantar angkasawan negara itu menandakan satu lagi pencapaian di peringkat dunia yang mampu dirai rakyat negara ini, selaras dengan usia kemerdekaan negara ke-50 bebas dari penjajahan, pada 31 Ogos lepas.
Semua kejayaan yang dikecapi pada masa ini adalah hasil daripada toleransi, pemuafakatan, persefahaman serta semangat cintai Negara yang kuat daripada rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Tanpa adanya semua ini, kita tidak dapat bersaing dengan Negara maju yang lebih maju lagi dari segi sains dan teknologi. Jika kita bersatupadu kita akan jadi kuat dan mampu bersaing. Oleh itu, perpaduan kaum yang kita bina dan pelihara sekian lama perlu dikekalkan untuk mencapai matlamat menjadi sebuah Negara maju pada tahun 2020.

9.26.2008

HARGA BAHAN API TURUN HARGA BARANG ?

Langkah kerajaan menurunkan harga runcit petrol dan diesel diturunkan 10 sen seliter yang berkuatkuasa pada 25 September lalu. Dengan penurunan harga bahan api itu yang kedua sejak 23 Ogos lalu, petrol RON97 kini RM2.45 seliter, RON92 (RM2.30) dan disel (RM2.40. Penurunan harga baru bahan api ini adalah berita gembira kepada rakyat yang mempunyai kenderaan. Bagaimana pula dengan harga barang adakah turut turun ataupun kekal seperti biasa. Para peniaga sepatutnya menurunkan harga barang kerana tiada alasan yang konkrit untuk kekalkan harga sekarang. Sebagai pengguna kita seharusnya bersatu hati dan gunakan kuasabeli kita untuk menangani masalah ini.

Renung-renungkan lah nasib para pengguna.

9.22.2008

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA

Bagi rakyat Malaysia yang beragama Islam, Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri. Semoga tahun ini penuh dengan kemeriahan bersama keluarga tersayang dan sahabat andai.

Bagi mereka yang balik kampung berhati-hati memandu di jalan raya dan pastikan rumah dikunci.