10.24.2008

TAMAN HIDUPAN LIAR BORNEO MENANTI KUNJUNGAN ANDA

Sebut sahaja hidupan liar pasti menyeronokkan terutama kanak-kanak yang baru mengenali pelbagai spesies haiwan.

Bagi pelancong dan pengemar hidupan liar pula, peluang menyaksikan kelibat pelbagai spesies haiwan Borneo tentunya memberi kepuasan yang tidak terhingga.

Pembukaan Taman Hidupan Liar Lok Kawi di Putatan yang terletak kira-kira 25 kilometer daripada pusat bandar Kota Kinabalu adalah peluang terbaik pengunjung melihat secara dekat pelbagai spesies haiwan yang terdapat di Borneo.

Taman yang juga dikenali Zoo Lok Kawi ini adalah satu-satunya taman haiwan terbesar menempatkan pelbagai spesies haiwan Borneo yang pertama di Sabah dan telah dibuka kepada umum pada 17 Februari 2007.

Zoo Lok Kawi mempunyai pelbagai hidupan liar Borneo dan Malaysia yang boleh dilihat seperti Orang Utan, monyet Bangkatan “Proboscis Monkey”, gajah kecil “Pygmy Elephant”, badak sumatra, beruang madu, burung kenyalang, harimau, kijang dan banyak lagi.

Taman ini mempunyai keluasan 280 ekar iaitu 100 ekar adalah Taman Zoologi yang diurus sepenuhnya oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah dan 180 ekar lagi adalah Taman Botani yang diurus oleh Jabatan Perhutanan Sabah
Buat masa ini Taman Zoologi mempunyai lebih daripada 100 spesies termasuk burung, reptilia dan mamalia. Manakala di Taman Botani menempatkan pelbagai spesies tumbuhan.
Menurut Encik Ahmad Tajuddin bin Alli, yang bertugas di Unit Pengurusan Pelawat Taman ini, setakat 17 Febuari hingga Disember 2007 jumlah pelawat yang datang ke taman ini adalah seramai 150 ribu orang yang terdiri dari pengunjung tempatan dan asing.

Tambahnya lagi, pihak taman menerima tidak kurang lima kumpulan pelawat setiap hari sama ada daripada murid-murid sekolah ataupun pertubuhan bukan kerajaan. Pada Sabtu, Ahad dan cuti lepasan am adalah paling ramai pengunjung, katanya lagi.

Taman ini dibuka bermula jam 9.30 pagi hingga jam 5.30 petang dengan bayaran masuk sebanyak RM10 bagi warganegara dan RM20 bagi warga asing yang berumur 18 tahun ke atas.
Manakala pengunjung berumur 17 tahun ke bawah warganegara RM5 dan warga asing RM10. Bagi warga emas (60 tahun ke atas) dan Orang Kurang Upaya (OKU) masuk adalah percuma.

Sementara murid-murid sekolah adalah percuma. Walau bagaimanapun pihak sekolah hendaklah mengemukakan surat permohonan terlebih dahulu dan semasa melawat hendaklah berpakaian seragam.

Pengunjung dibekalkan peta sebagai penunjuk arah untuk memulakan “pengembaraan” dengan menyusuri jalan berturap sepanjang lebih satu kilometer yang di kiri kanannya menempatkan pelbagai habitat haiwan.

Selepas melalui pintu masuk anda disapa keletah pelbagai spesies burung seperti tiung, kakak tua, burung hantu dan merak serta spesies haiwan aktif pada waktu malam seperti harimau dahan dan musang.

Perjalanan seterusnya menemukan anda dengan kumpulan rusa chital, burung emu, gajah Pygmy dan badak sumbu Sumatra, burung unta, beruang madu, harimau, orang utan, monyet bangkatan, seladang, memerang dan kancil.

Peminat burung pula berpeluang memerhati pelbagai spesies burung yang dilepas bebas dicelah kehijauan daun dan rimbunan pokok hutan dalam sebuah sangkar gergasi.

Bagi peminat haiwan reptilia seperti ular tedung, ular sawa, buaya, biawak dan kura-kura pihak taman menyediakan tempatnya untuk dilihat oleh pengunjung.

Di Taman zoo ini, pengunjung tidak disediakan pengangkutan, sebaliknya diberi kebebasan bergerak dengan berjalan kaki dari satu habitat ke habitat lain.

Walau bagaimanapun, menurut Encik Ahmad, pihak Taman sudah menerima dua buah kenderaan untuk kemudahan pengangkutan kepada pengunjung yang akan digunakan kelak.

Bercakap berkaitan kemudahan yang lain, Encik Ahmad berkata, jika letih berjalan pengunjung boleh berehat di mana-mana enam pondok rehat di sekitar zoo atau di mana-mana pondok pemerhatian haiwan yang disediakan di setiap habitat yang lengkap dengan kipas dan kerusi kayu.

Dua tandas awam dalam kawasan zoo juga disediakan, manakala bagi pengunjung yang kehausan dan kelaparan, boleh menjamu selera di kafeteria yang disediakan berdekatan dengan habitat gajah.

Pihak zoo ada menyediakan tarikan khas untuk kanak-kanak iaitu peluang menyertai aktiviti berkaitan hidupan liar di zoo Kanak-kanak dan menyaksikan persembahan haiwan di pentas amphiteater.
Selain melihat pelbagai spesies haiwan pengunjung juga berpeluang mengunjungi Taman Botani yang menempatkan pelbagai spesies tumbuhan seperti halia, periuk kera, orkid dan herba.
Menurut Encik Ahmad, di kawasan Taman Botani ini disediakan tempat perkelahan yang dilengkapi kemudahan pondok rehat dan tempat barbeku untuk pengunjung bersantai.

Suasana redup dipayungi kayu balak dan pokok getah tua serta bunyi aliran air anak sungai pasti mendamaikan pengunjung yang meluangkan masa berehat di kawasan ini.

Walaupun zoo ini tidak sehebat Zoo Negara, Zoo Taiping dan Zoo Melaka namun Zoo Lok Kawi ini dapat memulihara sumber alam semula jadi dan habitat aslinya.

Di samping itu, zoo ini dapat memberi pendidikan kepada orang ramai serta menjadi zoo ini tempat penyelidikan spesies hidupan liar.

Zoo Lok Kawi ini juga dapat mempelbagaikan nilai ekonomi tambahan dari aspek tarikan pelancongan ke negeri ini.

Bagaimana ke Lok Kawi Wildlife Park? Untuk ke situ pengunjung boleh memandu sendiri atau mengunakan teksi dari bandaraya Kota Kinabalu, pekan Putatan, Dongongon, Penampang melalui jalan lama Penampang – Papar atau Jalan Putatan – Lok Kawi.

4 comments:

GC said...

Nah macam ni baru best.

Urang Kita said...

thanks atas ilmu yang diperturunkan, mau banyak lagi ilmu dipelajri daripada tuan guru.

KADAYAN BANTING said...

sia pun mau baguru bikin blog cantik-cantik macam kamuorang nanti

Urang Kita said...

bole bos, kena berguru dengan empunya blog kopi o kaw kaw.