10.24.2008

TAMAN HIDUPAN LIAR BORNEO MENANTI KUNJUNGAN ANDA

Sebut sahaja hidupan liar pasti menyeronokkan terutama kanak-kanak yang baru mengenali pelbagai spesies haiwan.

Bagi pelancong dan pengemar hidupan liar pula, peluang menyaksikan kelibat pelbagai spesies haiwan Borneo tentunya memberi kepuasan yang tidak terhingga.

Pembukaan Taman Hidupan Liar Lok Kawi di Putatan yang terletak kira-kira 25 kilometer daripada pusat bandar Kota Kinabalu adalah peluang terbaik pengunjung melihat secara dekat pelbagai spesies haiwan yang terdapat di Borneo.

Taman yang juga dikenali Zoo Lok Kawi ini adalah satu-satunya taman haiwan terbesar menempatkan pelbagai spesies haiwan Borneo yang pertama di Sabah dan telah dibuka kepada umum pada 17 Februari 2007.

Zoo Lok Kawi mempunyai pelbagai hidupan liar Borneo dan Malaysia yang boleh dilihat seperti Orang Utan, monyet Bangkatan “Proboscis Monkey”, gajah kecil “Pygmy Elephant”, badak sumatra, beruang madu, burung kenyalang, harimau, kijang dan banyak lagi.

Taman ini mempunyai keluasan 280 ekar iaitu 100 ekar adalah Taman Zoologi yang diurus sepenuhnya oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah dan 180 ekar lagi adalah Taman Botani yang diurus oleh Jabatan Perhutanan Sabah
Buat masa ini Taman Zoologi mempunyai lebih daripada 100 spesies termasuk burung, reptilia dan mamalia. Manakala di Taman Botani menempatkan pelbagai spesies tumbuhan.
Menurut Encik Ahmad Tajuddin bin Alli, yang bertugas di Unit Pengurusan Pelawat Taman ini, setakat 17 Febuari hingga Disember 2007 jumlah pelawat yang datang ke taman ini adalah seramai 150 ribu orang yang terdiri dari pengunjung tempatan dan asing.

Tambahnya lagi, pihak taman menerima tidak kurang lima kumpulan pelawat setiap hari sama ada daripada murid-murid sekolah ataupun pertubuhan bukan kerajaan. Pada Sabtu, Ahad dan cuti lepasan am adalah paling ramai pengunjung, katanya lagi.

Taman ini dibuka bermula jam 9.30 pagi hingga jam 5.30 petang dengan bayaran masuk sebanyak RM10 bagi warganegara dan RM20 bagi warga asing yang berumur 18 tahun ke atas.
Manakala pengunjung berumur 17 tahun ke bawah warganegara RM5 dan warga asing RM10. Bagi warga emas (60 tahun ke atas) dan Orang Kurang Upaya (OKU) masuk adalah percuma.

Sementara murid-murid sekolah adalah percuma. Walau bagaimanapun pihak sekolah hendaklah mengemukakan surat permohonan terlebih dahulu dan semasa melawat hendaklah berpakaian seragam.

Pengunjung dibekalkan peta sebagai penunjuk arah untuk memulakan “pengembaraan” dengan menyusuri jalan berturap sepanjang lebih satu kilometer yang di kiri kanannya menempatkan pelbagai habitat haiwan.

Selepas melalui pintu masuk anda disapa keletah pelbagai spesies burung seperti tiung, kakak tua, burung hantu dan merak serta spesies haiwan aktif pada waktu malam seperti harimau dahan dan musang.

Perjalanan seterusnya menemukan anda dengan kumpulan rusa chital, burung emu, gajah Pygmy dan badak sumbu Sumatra, burung unta, beruang madu, harimau, orang utan, monyet bangkatan, seladang, memerang dan kancil.

Peminat burung pula berpeluang memerhati pelbagai spesies burung yang dilepas bebas dicelah kehijauan daun dan rimbunan pokok hutan dalam sebuah sangkar gergasi.

Bagi peminat haiwan reptilia seperti ular tedung, ular sawa, buaya, biawak dan kura-kura pihak taman menyediakan tempatnya untuk dilihat oleh pengunjung.

Di Taman zoo ini, pengunjung tidak disediakan pengangkutan, sebaliknya diberi kebebasan bergerak dengan berjalan kaki dari satu habitat ke habitat lain.

Walau bagaimanapun, menurut Encik Ahmad, pihak Taman sudah menerima dua buah kenderaan untuk kemudahan pengangkutan kepada pengunjung yang akan digunakan kelak.

Bercakap berkaitan kemudahan yang lain, Encik Ahmad berkata, jika letih berjalan pengunjung boleh berehat di mana-mana enam pondok rehat di sekitar zoo atau di mana-mana pondok pemerhatian haiwan yang disediakan di setiap habitat yang lengkap dengan kipas dan kerusi kayu.

Dua tandas awam dalam kawasan zoo juga disediakan, manakala bagi pengunjung yang kehausan dan kelaparan, boleh menjamu selera di kafeteria yang disediakan berdekatan dengan habitat gajah.

Pihak zoo ada menyediakan tarikan khas untuk kanak-kanak iaitu peluang menyertai aktiviti berkaitan hidupan liar di zoo Kanak-kanak dan menyaksikan persembahan haiwan di pentas amphiteater.
Selain melihat pelbagai spesies haiwan pengunjung juga berpeluang mengunjungi Taman Botani yang menempatkan pelbagai spesies tumbuhan seperti halia, periuk kera, orkid dan herba.
Menurut Encik Ahmad, di kawasan Taman Botani ini disediakan tempat perkelahan yang dilengkapi kemudahan pondok rehat dan tempat barbeku untuk pengunjung bersantai.

Suasana redup dipayungi kayu balak dan pokok getah tua serta bunyi aliran air anak sungai pasti mendamaikan pengunjung yang meluangkan masa berehat di kawasan ini.

Walaupun zoo ini tidak sehebat Zoo Negara, Zoo Taiping dan Zoo Melaka namun Zoo Lok Kawi ini dapat memulihara sumber alam semula jadi dan habitat aslinya.

Di samping itu, zoo ini dapat memberi pendidikan kepada orang ramai serta menjadi zoo ini tempat penyelidikan spesies hidupan liar.

Zoo Lok Kawi ini juga dapat mempelbagaikan nilai ekonomi tambahan dari aspek tarikan pelancongan ke negeri ini.

Bagaimana ke Lok Kawi Wildlife Park? Untuk ke situ pengunjung boleh memandu sendiri atau mengunakan teksi dari bandaraya Kota Kinabalu, pekan Putatan, Dongongon, Penampang melalui jalan lama Penampang – Papar atau Jalan Putatan – Lok Kawi.

PERPADUAN KAUM PEMANGKIN KECEMERLANGAN NEGARA

Perpaduan merupakan salah satu aspek penting dalam pembangunan sesebuah Negara. Oleh itu, perpaduan kaum dan integrasi nasional masih merupakan agenda utama kerajaan kerana kemajuan yang dinikmati sekarang adalah hasil perpaduan erat antara pelbagai kaum di Negara ini.
Peristiwa 13 Mei 1969 telah memberikan pengajaran dan iktibar kepada rakyat semua kaum tentang pentingnya mengukuhkan permuafakatan dan persefahaman serta menjamin keadilan sosial agar perpaduan dapat dikekalkan dan ditingkatkan.
Ekoran itu, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970 yang bertujuan untuk membetulkan ketidakseimbangan sosio ekonomi yang wujud di Negara ini. Dalam tempoh 20 tahun pelaksanaannya DEB telah berjaya membawa perubahaan khususnya dalam mencapai matlamatnya membasmi kemiskinan serta mewujudkan pemauafakatan dan persefahaman pelbagai kaum.
Pemuafakatan dan persefahaman ini telah menjamin kestabilan politik dan keamanan sosial yang membolehkan pembangunan ekonomi berjalan dengan pesat sehingga Malaysia dianggap sebagai sebuah Negara membangun yang berjaya. Bahkan pengalaman Malaysia dianggap sangat berguna dan sering dijadikan contoh oleh Negara membangun yang lain yang menghadapi masalah hubungan etnik dan agama.
Kita harus berbangga kerana kita antara satu-satunya Negara di rantau ini yang mempunyai wawasan yang boleh dipegang oleh semua rakyat di pelbagai lapisan masyarakat. Wawasan 2020 adalah ilham mantan Perdana Menteri ke empat Tun Dr. Mahathir Muhamad iaitu untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara maju menjelang tahun 2020.
Gagasan Wawasan 2020 meletakkan perpaduan kebangsaan sebagai cabaran utama yang perlu ditangani agar Malaysia benar-benar maju mengikut acuan sendiri.

Bagi merealisasikan matlamat ini Kerajaan di bawah kepimpinan Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia telah memperkenalkan Misi Nasional dengan mengariskan langkah-langkah utama yang harus diambil bagi tempoh lima belas tahun akan datang.
Projek-projek pembangunan dibawah Rancangan Malaysia Kesembilan rancak dilaksanakan di seluruh negara iaitu RMK9 ini akan memacu Misi Nasional ke arah mecapai Wawasan 2020.
Selain itu, bagi mengurangkan jurang ketidakseimbangan pembangunan yang berlaku antara wilayah, kerajaan telah memperkenalkan koridor pembangunan ekonomi negara. Kerajaan kini memajukan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di selatan Johor, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE).
Koridor pembangunan ekonomi negara ini adalah untuk memastikan agar semua kaum dapat sama-sama merasai pembangunan dan perkhidmatan berkualiti yang seimbang. Tidak ada kaum dipinggirkan dalam arus pembangunan negara.
Dari segi politik, konsep perkongsian kuasa yang diamalkan sejak Parti PERIKATAN yang kemudiannya Barisan Nasional ternyata berhasil megekalkan keharmonian dan kecemerlangan negara. Ini kerana melalui perkongsian kuasa semua kaum dilibatkan sama dalam mentadbir dan mengurus negara.
Tidak ada kaum yang disisih, semua kaum diberi peluang dan ruang menyuarakan pandangan, pendapat dan komen melalui wakil-wakil mereka di Dewan Rakyat dan Negara yang dipilih melalui proses pilihanraya. Malah wakil-wakil pelbagai kaum terlibat dalam mentadbir negara melalui barisan kabinet persekutuan yang dibentuk setiap lima tahun.
Hasil daripada kestabilan politik negara serta kesepaduan rakyat kita telah melangkah maju dalam melaksanakan projek-projek mega yang telah menguntungkan bukan saja pada negara tetapi rakyat Malaysia. Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bertaraf dunia merupakan salah satu hub penerbangan yang terpenting di rantau Asia Tenggara iaitu pintu masuk utama di negara ini kepada dunia luar.

Berdekatan dengan KLIA letaknya Litar Antarabangsa Sepang merupakan litar perlumbaan Formula Satu Grand Prix Malaysia, A1 Grand Prix juga Grand Prix Motosikal Malaysia. Ia juga digunakan sebagai gelanggang pelbagai perlumbaan motor. Pembinaan litar ini mampu menarik pelancong luar negara untuk datang ke negara ini.



Menara Berkembar PETRONAS setinggi 45.9 meter (88 tingkat) masih merupakan menara berkembar tertinggi di dunia dan merupakan bangunan tertinggi bagi abad ke-20 menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Banyak lagi projek-projek pembangunan negara telah dilaksanakan seperti Multimedia Super Corridor (MSC), Pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan (PUTRAJAYA), Jambatan Pulau Pinang dan yang lain-lain dibina untuk kemajuan negara.
Manakala dalam bidang sukan, kejayaan atlet-atlet negara di peringkat antarabangsa telah mengangkat martabat negara seperti Nicole Ann David ratu squash negara mempertahankan kedudukan pemain nombor satu dunia, kejayaan jaguh bina badan negara Sazali Samad juara Mr. Universe Kejohanan Bina Badan Amatur Dunia ke-61 tahun lalu kategori Lightweight, di Jeju, Korea Selatan, kejayaan Datuk, Azhar Mansor orang Malaysia pertama yang berjaya mengelilingi dunia dengan berlayar, kejayaan Datuk Abdul Malik Mydin merentasi Selat Inggeris, kejayaan M. Magendran dan N. Mohandas menakluki Gunung Everest pada Mei 2007 dan banyak lagi kejayaan-kejayaan rakyat Malaysia yang tidak disebutkan telah memperlihatkan dunia bahawa Malaysia sebuah negara kecil dan membangun cemerlang dan setanding dengan negara-negara maju dalam bidang sukan.
Satu lagi kejayaan Negara apabila membuka episod baru dalam lipatan sejarah negara apabila pada 10 Oktober tahun lalu angkasawan negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha rakyat Malaysia yang pertama ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menggunakan roket Soyuz TMA-11 buatan Russia dari tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan tepat pukul 7.21 malam (9.21 malam waktu Malaysia).
Kejayaan menghantar angkasawan negara itu menandakan satu lagi pencapaian di peringkat dunia yang mampu dirai rakyat negara ini, selaras dengan usia kemerdekaan negara ke-50 bebas dari penjajahan, pada 31 Ogos lepas.
Semua kejayaan yang dikecapi pada masa ini adalah hasil daripada toleransi, pemuafakatan, persefahaman serta semangat cintai Negara yang kuat daripada rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Tanpa adanya semua ini, kita tidak dapat bersaing dengan Negara maju yang lebih maju lagi dari segi sains dan teknologi. Jika kita bersatupadu kita akan jadi kuat dan mampu bersaing. Oleh itu, perpaduan kaum yang kita bina dan pelihara sekian lama perlu dikekalkan untuk mencapai matlamat menjadi sebuah Negara maju pada tahun 2020.