11.26.2008

PENGESANAN AWAL BOLEH ELAK KANSER USUS

Tahukah anda kanser atau barah merupakan pembunuh nombor dua negara selepas penyakit jantung. Jika dikesan lebih awal peluang untuk hidup lebih lama adalah cerah. Sebaliknya jika lewat dikesan peluang untuk hidup adalah amat tipis.

Setakat ini belum ada satu ubat atau penawar yang benar-benar mujarab untuk menyembuhkan penghidap kanser.

Kanser boleh menyerang dimana-mana bahagian organ atau anggota tubuh badan kita. Organ atau anggota tubuh badan yang biasa diserang seperti rahim, payu dara, mulut, hidung, hati, paru-paru, perut, otak dan usus.

Bayangkan kiranya salah satu organ penting dalam tubuh badan kita diserang kanser dan tidak berfungsi lagi. Apa akan terjadi ? biasanya kesengsaraan dialami bertahun-tahun sebelum ajal.

Ingin saya berkongsi sedikit pengalaman untuk dikongsi semua agar dapat beri sedikit panduan kepada anda yang mempunyai masalah apabila membuang air besar.

Kanser boleh terjadi pada usus kita apabila cara pemakanan kita yang tidak seimbang iaitu terlalu banyak makan makanan berunsurkan daging dan kurang makan makanan berasaskan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Kanser juga boleh terjadi disebabkan faktor keturunan, iaitu kanser boleh terjadi kepada anak cucu. Fakta ini memang saya percaya kerana ia berlaku pada keluarga saya sendiri. Sebahagian besar keluarga saya menghidap kanser usus.

Saya amat berterima kasih kepada tuhan kerana mak cik, dua orang kakak, dua orang adik lelaki dan saya masih hidup hingga ke hari ini, ekoran penyakit ini dapat dikesan lebih awal dan ketumbuhan (tumor) tersebut telah di buang.

Kanser usus tidak lah seteruk kanser-kanser lain dalam organ badan kita, namun kalau tidak dikesan lebih awal ia akan merebak ke organ lain.

Seperti kanser lain, kanser ini terbentuk pada sel tertentu dan menghasilkan perubahaan genetik serta melibatkan pertumbuhan benigna yang kecil, dikenali polip yang terbina daripada sel-sel mukosa normal. Perkembangan metastasis kanser kolon adalah secara bertahap, iaitu bermula dengan proses pembahagian luar biasa yang berlaku pada sel normal dalam saluran kolon, diikuti kemunculan struktur polip (tumor benigna) pada dinding kolon dan seterusnnya, berlaku pembentukan karsinoma malignan.
Antara simpton yang ditunjukkan ialah pendarahan dalam najis atau daripada rektum, perubahan kelakuan pembuangan seperti diarea dan sembelit atau kedua-duanya. Pengeluaran gas berlebihan yang menyebabkan ketidakselesaan abdominal sama ada abdominal berasas penuh atau berlaku kekejangan abdominal.

Terdapat beberapa cara untuk mengetahui samaada terdapat ketumbuhan pada usus kita iaitu melalui colonoscopy. Colonoscopy adalah sejenis alat membantu doktor untuk melihat dalam usus kita, alat ini berupa hos sebesar jari kecil, panjang lebih kuran 2 meter dan dihujungnya ada kamera.

Sebelum melalui proses colonoscopy kita perlu membersihkan terlebih dahulu usus kita dengan meminum sejenis cecair yang dicampur dengan air dan diminum, biasanya air yang diminum sebanyak tiga botol coca-cola.

Apabila dah bersih memudahkan doktor melihat dengan jelas usus, sama ada terdapat ketumbuhan ataupun sebaliknya.
Alat colonoscopy akan dimasukkan melalui lubang zubur, proses ini tidak lah sakit sangat jika doktor melakukannya secara perlahan-lahan dan berhati-hati. Doktor akan memberi sedikit suntikan dadah untuk mengurangkan rasa sakit ataupun diberi suntikan yang akan tidak menyedarkan dan rasa sakit.

Jika terdapat ketumbuhan pada dinding usus, doktor akan mengambil sedikit tisu tersebut untuk tujuan uji kaji untuk menentukan jenis penyakit. Itulah proses yang harus dilalui kepada sesiapa yang mempunyai masalah usus.

Apabila keputusan diketahui daripada tisu yang diambil dalam usus kita tersebut dan didapati kanser, bahagian yang ada ketumbuhan tersebut haruslah dibuang melalui pembedahan. Bahagian usus yang ada ketumbuhan dibuang sepanjang 1 meter dan usus yang telah dipotong disambung semula.

Ini adalah nasihat saya kiranya anda yang mempunyai tanda-tanda yang disebutkan tadi pergilah berjumpa doktor pakar dan buatlah colonoscopy kerana jika dikesan lebih awal adalah lebih baik berbanding jika penyakit tersebut sudah kronik dan berjangkit kepada organ-organ lain.

Ingatlah bahawa kesihatan itu antara terpenting dalam hidup kita, jagalah kesihatan dengan mengamalkan pemakanan seimbang dan diikuti dengan senaman. Jika kita kaya sekalipun jikalau kesihatan tidak baik tidak membawa kebahagian.

11.21.2008

PROMOSI KEINDAHAN DAN KEUNIKAN SABAH DAN SARAWAK

Saya bersetuju sangat cadangan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek bahawa filem dan drama berlatarbelakangkan keindahan dan keunikan Sabah dan Sarawak bagi pengetahuan umum dan tarikan pelancongan adalah diberi keutamaan.

Langkah tersebut merupakan salah satu usaha kerajaan untuk menarik pelancong tempatan atau luar datang ke negeri Sabah dan Sarawak kiranya filem-filem yang dibuat adalah berlatar belakangkan keunikan dan keindahan dikedua-dua negeri tersebut.

Negeri Di bawah Bayu sememangnya kaya dengan keindahan alam flora dan faunanya serta tempat-tempat menarik dan kaya dengan pelbagai budaya daripada hampir 30 suku kaum dengan menggunakan lebih dari 50 bahasa dan tidak kurang dari 90 dialek.

11.19.2008

AMALKAN SIKAP BANTU MEMBANTU

Hidup bermasyarakat saling perlu memerlukan dan saling bergantungan antara satu sama lain tanpa mengira status, pangkat, bangsa, agama, miskin atau kaya.

Kita harus menanamkan sifat saling bantu membantu atau tolong menolong kerana setiap orang dimuka bumi ini tidak ada yang tidak berguna semuanya punya peranan dan tanggungjawab masing-masing.

Pepatah melayu ada mengatakan berat sama dipikul, ringan sama dijinjing yang bermaksud senang dan susah dialami bersama, pekerjaan yang berat akan terasa ringan apabila dikerjakan bersama-sama.

11.18.2008

MAHIR BERTUTUR PELBAGAI BAHASA

MEROKOK MEMBAHAYAKAN KESIHATAN

Rokok merupakan benda yang sudah tak asing lagi bagi kita. Merokok sudah menjadi kebiasaan yang sangat umum dan meluas di masyarakat. Bahaya merokok terhadap kesihatan tubuh telah diteliti dan dibuktikan banyak orang.
Efek-efek yang merugikan akibat merokok pun sudah diketahui dengan jelas. Banyak penelitian membuktikan kebiasaan merokok meningkatkan risiko timbulnya berbagai penyakit antaranya seperti penyakit jantung dan gangguan pembuluh darah, barah paru-paru, kanser mulut, tekanan darah tinggi serta gangguan kehamilan dan cacat pada janin.
Tabiat merokok dikhalayak ramai dan didepan ahli-ahli keluarga khususnya anak-anak adalah kurang sopan dan juga boleh membahayakan kesihatan mereka.
Walaupun terbukti merokok membahayakan kesihatan tetapi ramai diantara perokok masih merokok. Walaupun harga rokok telah dinaikkan oleh kerajaan malah mereka sanggup membelinya semata-mata untuk melepaskan gian merokok.

HARGA MINYAK DAN BERAS TURUN

Semalam saya sempat tengok berita Buletin Utama antara tajuk utamanya ialah harga minyak dan beras turun, berita gembira ini khasnya kepada semua khususnya yang memiliki kenderaan, kerajaan telah mengumumkan bahan api turun lagi 15 sen seliter iaitu harga petrol RON97 kini RM2 seliter, RON92 pula RM1.90 dan diesel RM1.90 seliter berkuatkuasa 18 November 2008.

Memang betul, baru pagi tadi saya isi minyak petrol kenderaan saya memang sudah turun, terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan.

Manakala harga siling beras Super Tempatan (ST) lima peratus serta 10 peratus hancur dikurangkan antara 20 dan 30 sen sekilogram, mulai kelmarin.

Peliknya harga barang yang lain tidak turun-turun? Sepatutnya apabila harga bahan api turun harga barang pun patut turun. Dulu alasan mereka harga barang naik kerana harga bahan api naik kerana mengambil kira kos pengangkutan. Sekarang kos pengangkutan sudah kurang turunkan lah.


Timbalan Perdana Menteri dalam kenyataannya semalam berharap peniaga mengambil langkah untuk terus mengurangkan harga barang supaya rakyat mendapat manfaat sepenuhnya berikutan penurunan terbaru harga bahan api itu.

Beliau juga berharap pengguna akan terus mengamalkan sikap berhemah dalam penggunaan petrol dan diesel walaupun harganya sudah menurun beberapa bulan lalu. Ini selaras dengan hasrat kita memastikan penggunaan tenaga yang efisien," katanya.

Kesianlah para pengguna khususnya orang kampung yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Bayangkan lah kesusahan mereka kiranya dalam satu keluarga mempunyai ramai anak, mau kasi belanja sekolah lagi, mau beli susu lagi, mau beli baju lagi dan apa dorang mau makan. Syukurlah mereka tinggal di kampung dapat juga cari sayur-sayur di hutan. Macamanapula orang yang tinggal di bandar? Sayur satu ikatpun mau RM1.

Restoran-restoran dan kedai-kedai makan juga patut menurunkan harga makanan berikutan harga bahan api dan beras sudah turun.

11.17.2008

PENSIANGAN BERPOTENSI SEBAGAI DISTINASI PELANCONGAN

Mungkin ramai daripada kita belum pernah sampai ke Pensiangan, manakala yang pernah sampai banyak perkara yang ingin dibicarakan dan dikongsi bersama pengalaman mereka.

Saya sendiri belum pernah sampai ke Pensiangan, tetapi daripada cerita-cerita rakan setugas, saya dapat bayangkan dan gambarkan keadaan penghidupan masyarakat di sana.

Apa yang saya diberitahu rakan-rakan setugas, jika nak ke Pensiangan iaitu di Pensiangan Bandar perlu menaiki bot yang mengambil masa dua jam untuk sampai dan botnya hanya memuatkan 10 orang sahaja. Sepanjang perjalanan ke Pensiangan Bandar baju yang dipakai sekejap basah dan sekejap kering disebabkan percikan air sungai. Jika nasib tidak baik air surut terpaksa turun ke sungai dan menolak bot lebih bahaya lagi melawan arus sungai. Saya pasti pelancong yang mengalami pengalaman ini pastinya menyeronokkan.

Walau pun saya tidak pernah sampai ke tempat tersebut sebagaimana yang diceritakan rakan-rakan sememangnya masyarakat di Pensiangan perlunya perhatian daripada kerajaan untuk dibangunkan.

Apa yang saya perhatikan dan berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan, pembangunan di Parlimen Pensiangan khususnya di DUN Sook dan DUN Nabawan tidaklah sehebat daerah-daerah lain di negeri Sabah seperti Daerah Lahad Datu yang berkembang maju dengan POICnya.

Jika dilihat di Pekan Nabawan itu sendiri hanya beberapa deret kedai papan dan tapak tamu yang menjadi pertemuan masyarakat Pensiangan untuk memasarkan hasil pertanian mereka.

Kerajaan sebenarnya tidak melupakan Pensiangan kerana masyarakat di sini juga tidak ketinggalan menerima pendidikan seperti kanak-kanak lain. Kerajaan juga telah membina sekolah-sekolah rendah dan menengah khusus untuk anak-anak di sini untuk dapatkan pendidikan.
Dari segi kesihatan, masyarakat di Pensiangan juga tidak dilupakan, terdapat sebuah klinik kesihatan disini dan ia merupakan satu-satunya klinik di kawasan mukim Pensiangan yang telah dibina sekitar tahun 1970 dan mula beroperasi pada tahun 1974 dengan sepenuhnya. Klinik ini terletak kira-kira 254 km dari Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau dan 114 km dari Pekan Nabawan.

Begitu juga dengan jalanraya bertar, iaitu Jalanraya Keningau - Pekan Nabawan jika sebelum ini perjalanan mengambil masa hampir dua jam tapi sekarang dalam satu jam.

Beberapa pejabat kerajaan juga diwujudkan di sini untuk melancarkan lagi sistem pentadbiran dan penyampaian kerajaan kepada rakyat.

Hasil daripada percambahan minda dengan rakan-rakan, kami sependapat bahawa Pensiangan sebenarnya boleh dimajukan khususnya dalam sektor pelancongan. Pensiangan masih lagi kaya dengan alam flora dan faunanya yang belum terusik serta tempat-tempat menarik untuk dilawati.

Contohnya, Batu Punggul, yang mempunyai sejarah legendanya dan mendapat tempat dimata masyarakat. Batu Punggul ini terletak di setesen Sepulot, dan jika ingin menjejak ke tempat tersebut, haruslah bermalam di tempat yang disediakan disamping menikmati juadah suku kaum murut dan yang paling popular ialah "TAPAI".

Jika diperbanyakkan kemudahan-kemudahan homestay, kemudahan bot diperbaiki dan diperbanyakkan pastinya Pensiangan dapat maju seiring dengan daerah-daerah lain di negeri ini.

Tumpuan harus diberikan dalam sektor pelancongan selain dalam sektor pertanian. Selain tempat pelancongan, masyarakat Murut juga kaya dengan budayanya dari segi tarian, baju, kraftangan dan sebagainya. Ini semua dapat dipasarkan dengan adanya usaha menjadikan Pensiangan sebagai salah satu destinasi pelancongan di Sabah. Sekaligus dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat di Pensiangan ini.

11.13.2008

SISTEM TAGAL SUNGAI MOROLI BERPOTENSI SEBAGAI TARIKAN PELANCONG

Bagi masyarakat Kampung Luanti Baru, Ranau mereka seharusnya berbangga kerana mempunyai sistem pengurusan sungai antara yang terbaik di negeri Sabah dan berpotensi sebagai daya tarikan pelancong di daerah ini.

Mungkin bagi mereka yang belum pernah datang ke kampung ini tiada apa yang menarik untuk dilihat. Namun sekiranya anda sendiri datang ke kampung ini ia suatu pengalaman yang sukar dilupakan. Suasana keindahan kampung yang jauh daripada kesibukan bandar, udara yang nyaman yang dikelilingi hutan rimba serta mempunyai sebatang sungai yang airnya mengalir jernih dihuni kehidupan air yang tidak diusik menggamit perasaan anda.












Paling menyeronokkan apabila anda berpeluang untuk memegang dan membelai ikan pelian (Kelah) iaitu spesis ikan yang semakin pupus dan dipercayai sukar dijinakkan. Namun, semuanya menjadi kenyataan di Sungai Moroli, Kampung Luanti Baru yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Pekan Ranau.

Semua usaha ini adalah atas kesedaran dan kerjasama pemimpin dan masyarakat di kampung ini mengenai pemuliharaan alam sekitar khususnya penjagaan sungai melalui Sistem Tagal yang diperkenalkan oleh Jabatan Perikanan Sabah.

Sistem Tagal atau di sesetengah daerah dikenali “Bombon” adalah satu konsep pemuliharaan sumber perikanan di sungai melalui pembabitan penduduk sesebuah kampung. Malah definisi tagal itu sendiri bermakna larangan terhadap sesiapa saja untuk menangkap ikan di kawasan sungai yang ditetapkan oleh ketua kampung dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) bagi tempoh tertentu.


Malah, dalam sistem ini pihak yang cuba memudaratkan sungai seperti menangkap ikan dan mencemarkan sungai boleh didenda menerusi Peraturan Penagalan yang diiktiraf oleh Mahkamah Anak Negeri.

Menurut Encik Jefrin Majangki @ Md. Mazli, 39 selaku Pengerusi Jawatankuasa Sistem Tagal Sungai Moroli menceritakan tercetusnya idea untuk mengadakan Sistem Tagal Sungai Moroli adalah kerana minatnya pada alam sekitar sejak kecil lagi. Beliau telah dididik untuk mencintai alam sekitar oleh nenek moyangnya melalui penceritaan sejak di alam kanak-kanak lagi.

Melihat pada keadaan Sungai Moroli yang tercemar dengan kegiatan pengambilan batu sungai oleh kontraktor membina jalan raya serta dipenuhi sampah sarap menyebabkan hidupan sungai seperti ikan sukar didapati menambahkan lagi niat Jefrin untuk melaksanakan sistem tersebut yang banyak mendapat dorongan dan sokongan dari Jabatan Perikanan Daerah Ranau dan Kota Kinabalu.

Tambahnya lagi, semasa sistem ini mula diperkenalkan kepada penduduk kampung, banyak cabaran yang dilaluinya terutama bantahan penduduk kampung. Penduduk kampung mendakwa sistem ini menghalang kebebasan mereka untuk menggunakan sungai sebagai tempat mandi manda, membasuh kain dan aktiviti-aktiviti lain.

Namun, usaha terus dilakukan untuk menyedarkan penduduk kampung mengenai penjagaan sungai terutama memelihara kehidupan air melalui ceramah-ceramah yang disampaikan oleh Jabatan Perikanan. Ceramah demi ceramah disampaikan serta diikuti sesi dialog yang akhirnya berjaya membuka hati penduduk kampung menerima sistem ini.

Menurut Jefrin, Sistem Tagal Sungai Moroli Kg. Luanti Baru, Ranau bermula pada 12 Oktober 2002 yang telah dirasmikan pelancarannya oleh mantan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Yang Berbahagia Datuk Siringan Gubat. Sungai Moroli diwartakan untuk Sistem Tagal sejauh tiga kilometer.

Sejak sistem ini diperkenalkan, banyak perubahan berlaku kepada Sungai Moroli, bukan sahaja sungai terpelihara daripada pencemaran tetapi juga hidupan sungai seperti ikan terus hidup bebas.

Menurut Puan Rosliah Majangki, 53 selaku Ketua Kampung Kg. Luanti Baru, hampir 20 jenis ikan sungai terdapat di Sungai Moroli antaranya ikan Lampan, Serawi, Kelah, sembilang dan ikan keli.

Sejak empat tahun sistem ini beroperasi, Jawatankuasa Sistem Tagal Sungai Moroli, Kg. Luanti Baru, Ranau telah menerima beberapa anugerah sama ada di peringkat negeri mahupun antarabangsa. Sistem Tagal kampung ini menerima Anugerah Alam Sekitar Sabah 2005 bagi kategori Projek Mesra Alam Sekitar Terbaik dan Anugerah GEG River Care 2006 terbaik bagi kategori komuniti daripada Global Environment Centre.

Sehingga hari ini, Sistem Tagal Sungai Moroli bukan sahaja menjadi contoh kepada kampung-kampung sekitarnya tetapi juga sebagai daya tarikan pelancong tempatan dan asing.

Menurut Encik Jeffrin, konsep sistem Tagal itu diubah sedikit memandangkan beliau banyak menerima cadangan daripada pelbagai pihak untuk memajukan tempat ini sebagai pusat pelancongan. Ikan tidak lagi dituai sebagaimana amalan biasa penduduk kampung sebaliknya membiarkan ikan-ikan itu terus hidup. Ini dilakukan kerana ikan-ikan di sungai itulah sebagai daya tarikan pelawat yang datang ke sini.

Selain dapat melihat dan membelai ikan, anda juga berpeluang untuk mandi manda di tempat yang dikhaskan dengan bayaran sekitar RM10.00. Bagi yang berminat untuk perkhemahan disediakan kawasan perkhemahan berdekatan dengan sungai dan bayaran untuk perkhemahan adalah mengikut pakej. Aktiviti Jungle Tracking juga disediakan kepada yang berminat untuk mereda hutan rimba di kampung ini.

Kepada anda yang berminat untuk melawat dan melihat Sungai Moroli yang di Tagal, anda hanya dikehendaki membayar RM2.00 dan bagi kanak-kanak RM1.00. Anda tidak akan merasa rugi kerana pelbagai aktiviti disediakan oleh pihak penganjur kepada anda.

Dari segi kemudahan infrastruktur, ia tidak menjadi masalah kerana di kampung ini memang disediakan kemudahan asas seperti Masjid, Mini Dewan, Padang Bola, bekalan elektrik, air graviti dan sebagainya.

Matlamat utama yang ingin dicapai oleh pengerusi dan ahli-ahli Jawatankuasa Sistem Tagal Sungai Moroli, Kg. Luanti Baru, Ranau ialah menjadikan kampung ini sebagai pusat pelancongan dengan mendirikan homestay. Apabila pusat pelancongan ini menjadi kenyataan sedikit sebanyak dapat meningkatkan sumber pendapatan penduduk kampung yang sebahagian besarnya adalah petani.