11.13.2008

SISTEM TAGAL SUNGAI MOROLI BERPOTENSI SEBAGAI TARIKAN PELANCONG

Bagi masyarakat Kampung Luanti Baru, Ranau mereka seharusnya berbangga kerana mempunyai sistem pengurusan sungai antara yang terbaik di negeri Sabah dan berpotensi sebagai daya tarikan pelancong di daerah ini.

Mungkin bagi mereka yang belum pernah datang ke kampung ini tiada apa yang menarik untuk dilihat. Namun sekiranya anda sendiri datang ke kampung ini ia suatu pengalaman yang sukar dilupakan. Suasana keindahan kampung yang jauh daripada kesibukan bandar, udara yang nyaman yang dikelilingi hutan rimba serta mempunyai sebatang sungai yang airnya mengalir jernih dihuni kehidupan air yang tidak diusik menggamit perasaan anda.












Paling menyeronokkan apabila anda berpeluang untuk memegang dan membelai ikan pelian (Kelah) iaitu spesis ikan yang semakin pupus dan dipercayai sukar dijinakkan. Namun, semuanya menjadi kenyataan di Sungai Moroli, Kampung Luanti Baru yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Pekan Ranau.

Semua usaha ini adalah atas kesedaran dan kerjasama pemimpin dan masyarakat di kampung ini mengenai pemuliharaan alam sekitar khususnya penjagaan sungai melalui Sistem Tagal yang diperkenalkan oleh Jabatan Perikanan Sabah.

Sistem Tagal atau di sesetengah daerah dikenali “Bombon” adalah satu konsep pemuliharaan sumber perikanan di sungai melalui pembabitan penduduk sesebuah kampung. Malah definisi tagal itu sendiri bermakna larangan terhadap sesiapa saja untuk menangkap ikan di kawasan sungai yang ditetapkan oleh ketua kampung dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) bagi tempoh tertentu.


Malah, dalam sistem ini pihak yang cuba memudaratkan sungai seperti menangkap ikan dan mencemarkan sungai boleh didenda menerusi Peraturan Penagalan yang diiktiraf oleh Mahkamah Anak Negeri.

Menurut Encik Jefrin Majangki @ Md. Mazli, 39 selaku Pengerusi Jawatankuasa Sistem Tagal Sungai Moroli menceritakan tercetusnya idea untuk mengadakan Sistem Tagal Sungai Moroli adalah kerana minatnya pada alam sekitar sejak kecil lagi. Beliau telah dididik untuk mencintai alam sekitar oleh nenek moyangnya melalui penceritaan sejak di alam kanak-kanak lagi.

Melihat pada keadaan Sungai Moroli yang tercemar dengan kegiatan pengambilan batu sungai oleh kontraktor membina jalan raya serta dipenuhi sampah sarap menyebabkan hidupan sungai seperti ikan sukar didapati menambahkan lagi niat Jefrin untuk melaksanakan sistem tersebut yang banyak mendapat dorongan dan sokongan dari Jabatan Perikanan Daerah Ranau dan Kota Kinabalu.

Tambahnya lagi, semasa sistem ini mula diperkenalkan kepada penduduk kampung, banyak cabaran yang dilaluinya terutama bantahan penduduk kampung. Penduduk kampung mendakwa sistem ini menghalang kebebasan mereka untuk menggunakan sungai sebagai tempat mandi manda, membasuh kain dan aktiviti-aktiviti lain.

Namun, usaha terus dilakukan untuk menyedarkan penduduk kampung mengenai penjagaan sungai terutama memelihara kehidupan air melalui ceramah-ceramah yang disampaikan oleh Jabatan Perikanan. Ceramah demi ceramah disampaikan serta diikuti sesi dialog yang akhirnya berjaya membuka hati penduduk kampung menerima sistem ini.

Menurut Jefrin, Sistem Tagal Sungai Moroli Kg. Luanti Baru, Ranau bermula pada 12 Oktober 2002 yang telah dirasmikan pelancarannya oleh mantan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Yang Berbahagia Datuk Siringan Gubat. Sungai Moroli diwartakan untuk Sistem Tagal sejauh tiga kilometer.

Sejak sistem ini diperkenalkan, banyak perubahan berlaku kepada Sungai Moroli, bukan sahaja sungai terpelihara daripada pencemaran tetapi juga hidupan sungai seperti ikan terus hidup bebas.

Menurut Puan Rosliah Majangki, 53 selaku Ketua Kampung Kg. Luanti Baru, hampir 20 jenis ikan sungai terdapat di Sungai Moroli antaranya ikan Lampan, Serawi, Kelah, sembilang dan ikan keli.

Sejak empat tahun sistem ini beroperasi, Jawatankuasa Sistem Tagal Sungai Moroli, Kg. Luanti Baru, Ranau telah menerima beberapa anugerah sama ada di peringkat negeri mahupun antarabangsa. Sistem Tagal kampung ini menerima Anugerah Alam Sekitar Sabah 2005 bagi kategori Projek Mesra Alam Sekitar Terbaik dan Anugerah GEG River Care 2006 terbaik bagi kategori komuniti daripada Global Environment Centre.

Sehingga hari ini, Sistem Tagal Sungai Moroli bukan sahaja menjadi contoh kepada kampung-kampung sekitarnya tetapi juga sebagai daya tarikan pelancong tempatan dan asing.

Menurut Encik Jeffrin, konsep sistem Tagal itu diubah sedikit memandangkan beliau banyak menerima cadangan daripada pelbagai pihak untuk memajukan tempat ini sebagai pusat pelancongan. Ikan tidak lagi dituai sebagaimana amalan biasa penduduk kampung sebaliknya membiarkan ikan-ikan itu terus hidup. Ini dilakukan kerana ikan-ikan di sungai itulah sebagai daya tarikan pelawat yang datang ke sini.

Selain dapat melihat dan membelai ikan, anda juga berpeluang untuk mandi manda di tempat yang dikhaskan dengan bayaran sekitar RM10.00. Bagi yang berminat untuk perkhemahan disediakan kawasan perkhemahan berdekatan dengan sungai dan bayaran untuk perkhemahan adalah mengikut pakej. Aktiviti Jungle Tracking juga disediakan kepada yang berminat untuk mereda hutan rimba di kampung ini.

Kepada anda yang berminat untuk melawat dan melihat Sungai Moroli yang di Tagal, anda hanya dikehendaki membayar RM2.00 dan bagi kanak-kanak RM1.00. Anda tidak akan merasa rugi kerana pelbagai aktiviti disediakan oleh pihak penganjur kepada anda.

Dari segi kemudahan infrastruktur, ia tidak menjadi masalah kerana di kampung ini memang disediakan kemudahan asas seperti Masjid, Mini Dewan, Padang Bola, bekalan elektrik, air graviti dan sebagainya.

Matlamat utama yang ingin dicapai oleh pengerusi dan ahli-ahli Jawatankuasa Sistem Tagal Sungai Moroli, Kg. Luanti Baru, Ranau ialah menjadikan kampung ini sebagai pusat pelancongan dengan mendirikan homestay. Apabila pusat pelancongan ini menjadi kenyataan sedikit sebanyak dapat meningkatkan sumber pendapatan penduduk kampung yang sebahagian besarnya adalah petani.

7 comments:

GregChai said...

suka tingu foto yang first, banyak ikan oh, trus macam mau cari ikan bakar ni... :)

NANAS BANTING said...

Saya rasa memang baguslah untuk tarikan pelancong, khususnya dari luar negara, mana ada negara lain yang mengamalkan budaya macam ini.

Padamar Seri said...

Lihat itu...

ni lah satu-satu sistem yang cukup menarik untuk diperkenalkan ke seluruh dunia.

Pada mulanya tentu ia hanya sekadar satu adat, tapi manfaatnya cukup besar dan caranya cukup bijak.

Patutnya orang yang memulakan sistem tagal ini diberikan anugerah Novel Price.

BLOG KOMEN said...

KUNJUNGILAH BLOG KOMEN UNTUK ANDA MEMBERIKAN KOMEN, PANDANGAN DAN PENDAPAT TENTANG APA-APA SAJA

Urang Kita said...

terima kasih, nanas banting, kopi o kaw kaw dan padamar seri kerana beri komen. memang bagus sistem ni kalu semua sungai di sabah ni di buat macam ni spesis ikan air tawar tdk pupus. sebaliknya urang sekarang sungai dijadikan tempat buang sampah sarap

Lolyeen said...

Hi bagaimana untuk menguhubungi pengurus tagal Sg Moroli? emel add? phone no? dan address tmpat tinggal kalo ada.. boleh minta ka?

Abdul said...

Saya ingin membawa sistem tagal ini di kalabakan tawau...boleh tunjukkan jalan?